by cahaya dua bulan
Dalam kita berniat untuk berhijrah, kadang-kadang ada angin munafik sepoi-sepoi hadir dalam hati kita.
Bisikan-bisikan ke halwa telinga sehingga akal menerbitkan rasa ingin bertangguh dan bertangguh lagi.
Dari situ, bermulalah perdebatan antara akal yang terbatas dengan kebenaran yang sudah terang lagi bersuluh. Mengapa jadi begitu?
Adakah wajar kita menyalahkan ibubapa kerana kurang memberi perhatian terhadap pendidikan agama kepada kita semenjak kecil?
Tidak, itu mungkin dosa mereka.
Usah ditambah lagi belenggu dosa-dosa yang sudahpun sarat terkandung di dalam akaun pahala-dosa kita.
Mintakan sahaja ampunan bagi mereka.
Mudah-mudahan Allah mengampunkan ketelanjuran mereka.
Bangkitlah! Dengarkan tangisan jiwa yang meronta-ronta meminta kita kembali kepada Tuhan.
Usah biarkan jiwa-jiwa kita terperangkap dalam penjara nafsu dan godaan syaitan yang lemah.
Mulakanlah langkah untuk berhijrah, sekalipun harus mengengsot!
Tanya pada diri dari jiwa yang paling dalam, sampai bila aku harus begini?
Sampai bila aku harus terus derhaka pada Allah yang telah menciptakan aku dari air mani yang hina? Istighfar dan menangislah.
Ingatlah bahawa sakaratul maut itu kiamat yang paling hampir dengan diri kita.
Sekujur badan, dari urat-urat kaki yang bakal menjadi kebiruan saat ajal dicabut malaikat maut yang bernama Izrail, sehingga ke urat halkum.
Itulah hakikat yang tidak boleh kita sangkal lagi, boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja! Bayangkanlah!
Berhijrahlah.
Usah ditangguh lagi. Usah tertipu lagi.
Berhentilah menyeksa batin yang meronta-ronta meminta dikembalikan kepada Tuhannya.
Indahnya berhijrah, jangan pernah mimpi untuk dapatkannya selagimana kita masih bertangguh, dan asyik bertangguh sehingga kita tertipu dengan janji palsu yang dibuat oleh diri kita sendiri!
Mulakanlah langkah untuk berhijrah kepada Allah dan RasulNya dengan hati dan jiwa yang terbuka.
Bagaimana memulakan langkah untuk berhijrah?
Memang tidak dinafikan, kebanyakan kita tidak terbimbing kerana kurangnya usaha mencari-gali ilmu.
Ilmu itu harus yang bagaimana? Beli buku yang banyak dan baca seharian sehingga naik jemu?
Tidak.
Ilmu itu tidak semestinya harus daripada buku sahaja.
Namun, jika kita perhatikan kembali, apakah perintah pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w melalui perantaraan malaikat Jibrail a.s?
Iqra’! (Bacalah!).
Itulah wahyu yang pertama diturunkan kepada Nabi kita, Muhammad s.a.w.
Oleh itu, kepada anda yang sedang mencari petunjuk dan bimbingan, di sini saya kongsikan apakah rahsia untuk kekal (istiqomah setelah) berhijrah.
Semoga dengan pembacaan saudara-saudari sekalian melalui penulisan yang sangat dhaif ini, serba sedikit dapat memberi dorongan dan semangat untuk anda yang masih terkapai-kapai mencari cahaya hijrah. InsyaAllah.
Sebelum memulakan langkah, berniatlah untuk berhijrah keranaNya semata-mata, bukan kerana nafsu.
Usah berkira-kira denganNya untuk memulakan langkah. Usah memilih jalan berhijrah yang didorongi hawa nafsu!
Agama itu bukan untuk dipilih-pilih yang mana satu pilihan qalbu.
Agama itu bukan selayaknya dipilih menurut hawa nafsu kita.
Bukan seperti kita memilih makanan; yang mana kita sukai, kita ambil dan jamu.. dan yang mana kita tidak sukai, kita tinggalkan atau buang sahaja.
Jangan begitu, wahai jiwa-jiwa yang meronta mencari ketenangan!
Sekarang rujuk semula rukun Islam dari nombor satu.
Rukun Islam yang pertama adalah syahadah.
Yang ini saya pasti anda sudah lulus (boleh menyebutnya dengan tepat), bukan?
Lihat pula rukun Islam yang kedua.
Bukankah solat lima waktu adalah rukun Islam yang kedua?
Rahsia untuk istiqomah setelah berhijrah itu sebenarnya cuma satu (mengikut pengalaman sendiri).
Pernah tak anda mengamalkan sesuatu (ibadah) dan meninggalkan yang lain dalam waktu yang sama?
Contohnya, berpuasa tetapi tidak menunaikan solat. Berpuasa, tetapi tidak menutup aurat. Banyak bersedekah, tetapi tidak menunaikan solat. Suka membaca al-Qur’an, tetapi tidak menutup aurat.
Amalan wajib dikerjakan sementara amalan yang wajib lain ditinggalkan. Atau amalan wajib ditinggalkan sementara amalan sunat digandakan.
Adakah anda antara yang seperti saya nyatakan di atas?
Jika ya, maka itulah yang dimaksudkan sebagai agama yang dipilih menurut hawa nafsu.
Oleh itu, apakah satu rahsia yang saya maksudkan untuk istiqomah?
Rahsianya ialah solat lima waktu.